Home TIPS KESIHATAN Fruktosa: Ketahui Kenapa Fruktosa Bahaya Kepada Kesihatan
Fruktosa: Ketahui Kenapa Fruktosa Bahaya Kepada Kesihatan

Fruktosa: Ketahui Kenapa Fruktosa Bahaya Kepada Kesihatan

0
0

Adakah anda tahu kenapa fruktosa bahaya kepada kesihatan anda. Pasti ramai yang mengalami masalah darah tinggi, kolesterol tinggi, perut buncit gout dan kencing manis. Ini mungkin berpunca daripada pengambilan fruktosa yang berlebihan dalam pemakanan seharian kita tanpa kita sedari.

Ketahui Kenapa Fruktosa Bahaya Kepada Kesihatan

Fruktosa adalah sejenis gula yang terdapat dalam buah-buahan dan juga tebu. Fruktosa yang dimakan dalam buah-buahan tidaklah berisiko tinggi kepada kesihatan kerana ianya diserap secara beransur-ansur dan diproses dalam hati secara perlahan-lahan disebabkan kandungan serat yang tinggi.

Buah-buahan juga mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah. Terdapat juga beberapa jenis buah-buahan yang mempunyai kandungan fruktosa yang lebih tinggi tetapi kandungan seratnya rendah seperti rambutan, anggur, durian dan sebagainya. Buah-buahan yang mempunyai serat yang lebih tinggi dan fruktosa yang lebih rendah seperti buah jambu batu, epal, pear, mangga muda dan lain-lain lagi.

Banyak Fruktosa Digunakan

Industri pemakanan menggunakan fruktosa yang banyak dalam hampir semua makanan proses yang manis. Fruktosa digunakan dalam pelbagai makanan yang ada dipasaran sekarang iaitu gula pasir dan maltodekstrin (high fructose corn syrup).

Ianya selalu diambil secara berlebihan tanpa kita sedari kerana ianya diletakkan dalam kebanyakan makanan dan minuman proses yang dijual dipasaran sekarang. Cuba kita baca pada label yang ada pada bungkusan pelbagai jenis makanan dan minuman proses dipasaran, sudah pasti kita akan berjumpa dengan istilah maltodekstrin atau high fructose corn syrup atau fructose sahaja.

Gula Pasir Diproses

Gula pasir yang di proses daripada tebu mempunyai nisbah glucosa dan fruktosa yang sama banyak iaitu 50%. Untuk maltodekstrin nisbah fruktosanya adalah 60% dan glukosanya 40%. Disebabkan kandungan fruktosa yang lebih ini maka maltodekstrin adalah 1.5 kali lebih manis dari gula pasir, oleh kerana itu ianya banyak digunakan dalam pelbagai jenis makanan atau minuman sebagai pemanis.

Gaya Hidup Zaman Moden

Hidup dalam zaman moden sekarang kebanyakan kita lebih mudah mengambil makanan dan minuman segera yang berlambak-lambak dipasaran sekarang. Kita makan atau minum atas dasar ‘ambil mudah’ maksudnya apa yang senang kita perolehi dalam waktu yang singkat tanpa kita bersusah payah menyediakan makanan atau minuman tersebut.

Jika kita terlalu banyak makan atau minum makanan atau minuman dari jenis ini , maka kita akan mengambil fruktosa secara berlebihan tanpa kita sedari. Seiring dengan kemajuan sesuatu negara, berlaku perubahan corak pemakanan dimana ramai yang mengambil makanan segera yang tinggi dengan gula atau maltodekstrin.

Di USA berlaku peningkatan sehingga 1000% dari tahun 1970 hingga tahun 1990 penggunaan maltodekstrin dalam makanan. Di Malaysia tidak kurang impaknya sejak negara kita semakin maju dan semakin ramai rakyat kita yang kaya dan lebih ramai surirumah yang berkerja.

Fruktosa Punca Masalah Berat Berlebihan

Kajian menunjukkan pengambilan fruktosa berlebihan adalah punca kepada masalah berat badan berlebihan, perut buncit, rintangan insulin, kolesterol tinggi dan darah tinggi yang secara kolektifnya dipanggil sebagai sindrom metabolik atau sindrom X.

Sindrom metabolik ini meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga 20% lebih tinggi dari populasi biasa. Pemakanan yang tinggi dengan fruktosa akan menyebabkan selera bertambah dan menjadi punca kepada masalah obesiti dan berlebihan berat badan.

Masalah Darah Tinggi (Hypertension)

Masalah darah tinggi (hypertension) boleh disebabkan pengambilan fruktosa yang berlebihan. Dalam satu laporan kajian yang diterbitkan jurnal perubatan Hypertension pada tahun 2011 menunjukkan bahawa pengambilan secara berlebihan fruktosa dalam tempoh dua minggu sahaja meningkatkan tekanan darah tinggi 7 mata untuk sistolik dan 5 mata untuk diastolik.

Kajian juga mendapati sekali pengambilan minuman ringan yang kaya dengan fruktosa akan meningkatkan tekanan darah sebanyak 1.6 mata sistolik dan 0.8 mata diastolik. Fakta ini jelas menunjukkan kesan keburukan fruktosa kepada tekanan darah seseorang lebih teruk dari pengambilan garam. Masalahnya kebanyakan dari kita tidak menyedari fakta ini dan lebih takutkan garam dalam makanan.

Fruktosa Toksin Manis

Menurut Dr Robert Lustig yang merupakan seorang pakar metabolisma dari University of California menggelarkan fruktosa sebagai ‘toksin manis’ kerana fruktosa berlebihan mengakibatkan masalah hati berlemak (fatty liver), fruktosa menyebabkan selera bertambah, fruktosa mengakibatkan peningkat proses glycation yang menghasilkan AGE (advance glycation end product).

Kajian mendapati punca kepada masalah hati berlemak atau Non Alcoholic Fatty Liver Disease adalah berpunca daripada pengambilan fruktosa yang berlebihan. Ini adalah kerana hati menukarkan fruktosa kepada lemak dengan cepat didalam hati dan ia akan berkumpul didalam hati disamping itu berlaku juga peningkatan paras kolesterol LDL yang merbahaya kepada kesihatan jantung.

Tingkatkan Paras Asid Urik

Fruktosa yang berlebihan juga menyebabkan peningkatan paras asid urik yang menjadi punca kepada masalah sakit sendi ‘gout’. Kajian menunjukkan, fruktosa akan mengganggu enzim xanthine oxidase dalam hati yang menyebabkan berlaku peningkatan paras  asid urik dalam darah yang akan menyebabkan masalah sakit sendi ‘gout’.

Satu kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2004, menunjukkan bahawa pengambilan fruktosa dalam makanan dan minuman adalah diantara punca kepada merebaknya masalah obesiti di USA.

Pelbagai Penyakit Dari Fruktosa Berlebihan

Menurut satu laporan , pada tahun 2008, masyarakat di USA mengambil sehingga 10% fruktosa dalam pemakanan seharian mereka setiap hari. Fakta ini seiring dengan masalah pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang juga meningkat.

Boleh dikatakan pemakanan yang tinggi fruktosa adalah diantara punca peningkatan penyakit-penyakit ini. Di Malaysia masalah yang serupa juga sedang berlaku dan pola penyakit yang sama juga meningkat di Malaysia sekarang ini. Sumber fruktosa yang utama di Malaysia adalah gula pasir dan maltodekstrin dalam makanan dan minuman.

Gunakan Bahan Semulajadi

Terdapat kajian yang menunjukkan terdapat beberapa jenis makanan yang tertentu yang boleh melindungi seseorang dari kesan fruktosa ini. Diantara makanan atau suplemen ini adalah halia, teh hijau, spirulina, vitamin B6, ekstrak kopi dan pelbagai jenis anti oksidan seperti anthocyanins (buah berri), quercetin (oren,epal), resveratrol (anggur) dan astraxanthin ( udang, salmon).

Jika kita selalu mengamalkan suplemen ini maka kesan sindrom metabolik akibat lebihan fruktosa ini boleh dikurangkan. Pengambilan lebih sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan yang rendah fruktosa adalah digalakkan untuk kesihatan yang lebih baik dan mencegah pelbagai jenis penyakit yang telah dinyatakan diatas, Insyaallah.

Gulakan Gula Dalam Makanan dan Minuman Dan Perbanyakkan Senyuman dalam kehidupan

Rujukan Dr.Norman

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *